KEBERKESANAN STRATEGI METAKOGNISI

KEBERKESANAN STRATEGI METAKOGNISI DALAM PEMAHAMAN MEMBACA TEKS KOMSAS GENRE : PROSA TRADISIONAL

1.0 PENDAHULUAN

Bahasa dan sastera mempunyai perkaitan kuat dalam perspektif yang bersifat holistik dan integral. Dunia sastera tidak pernah dipisahkan daripada pelbagai persoalan kebahasaan. Ini adalah kerana bahasa merupakan satu-satunya media pengungkapan bagi sasterawan menghasilkan karya.

Sehubungan itu, pengajaran komponen wajib kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah menengah mula dilaksanakan mulai Mac, tahun 2000. Penyerapan teks sastera dalam pendidikan bahasa merupakan strategi bijak untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu menekankan pengembangan potensi anak didik secara seimbang daripada segi rohani, jasmani, intelektual, dan emosional, iaitu menuntut pengisian jiwa generasi muda dengan segala unsur yang sepatutnya, termasuk sastera yang berfungsi menghaluskan budi dan kemanusiaan manusia.

Penggunaan teks sastera dalam pembelajaran komponen Kesusasteraan Melayu dalam Bahasa Malaysia yang dikenali sebagai KOMSAS, mempunyai kewajaran dan falsafahnya yang tersendiri yang mampu mengangkat martabat bahasa serta membina tamadun bangsa. Penggunaan karya sastera menjadi landasan untuk menyampaikan sifat-sifat bahasa yang berkesan. Hal ini demikian kerana pelajar-pelajar akan dapat menghayati keindahan karya di samping memberi tumpuan kepada unsur-unsur bahasa.

Mengikut Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia bagi tingkatan empat dan tingkatan lima, matlamat asas pengajaran bahasa Malaysia adalah bagi membolehkan pelajar menggunakannya untuk memahami berbagai-bagai bahan lisan dan tulisan, dalam bentuk makalah akademik dalam majalah, akhbar, ceramah, forum radio dan televisyen, serta menikmati karya kreatif, bertutur dengan fasih dan lancar tentang pelajaran, hal kemasyarakatan dan hal persendirian, melahirkan perasaan, pengalaman, pendapat, dan pengetahuan melalui bentuk lisan dan tulisan. Justeru, salah satu genre yang terkandung dalam teks KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia ialah genre prosa klasik di mana terdapat banyak kata klasik terkandung di dalam teks-teksnya.

Bahan prosa klasik kini tidak begitu digunakan secara meluas dalam pengajaran Bahasa Malaysia. Pada hakikatnya, bahasa prosa klasik dapat digunakan sebagai bahan dalam pengajaran bahasa dengan lebih luas lagi berkesan jika guru merancang menggunakan bahan ini dengan baik dalam pengajaran. Bahasa prosa klasik dapat digunakan untuk aktiviti bacaan, pemahaman, latihan tatabahasa, dan perbendaharaan kata. Penggunaan bahasa dapat ditingkatkan dengan mendedahkan pelbagai bahan pengajaran bahasa yang mencakup variasi bahasa dalam pelbagai suasana, laras, dan gaya yang indah.

Potensi dan manfaat penggunaan bahan sastera dalam pendidikan bahasa sudah lama diketahui dan diakui oleh pendidik bahasa serta disahkan oleh dapatan penyelidikan yang berkaitan. Itulah sebabnya pengajaran sastera dalam pendidikan Bahasa Malaysia dimasukkan sebagai bahagian baharu dalam sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia. Namun begitu, seperti semua inovasi kurikulum, pengajaran tersebut telah menimbulkan cabaran baharu kepada guru bahasa Malaysia yang melaksanakannya kerana memerlukan pengubahsuaian pengetahuan dan kemahiran pedagogi daripada mereka. Guru harus menggunakan pelbagai teknik dan strategi pengajaran bagi memastikan pelajar-pelajar dapat mengikuti pembelajaran dengan baik dan berkesan. Antara strategi yang boleeh digunakan ialah strategi metakognisi.

Justeru, kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengkaji keberkesanan penggunaan strategi metakognisi dalam pengajaran dan pembelajaran teks KOMSAS : Genre Prosa Klasik bagi membantu meningkatkan pemahaman pelajar dalam pembelajaran teks prosa klasik.

1.1 Pernyataan Masalah.

Pengajaran KOMSAS sebagai mata pelajaran wajib di seluruh sekolah menengah sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan kepada pelajar. Hal ini bermakna sama ada berminat atau tidak, pelajar mesti mempelajari kemahiran yang terkandung dalam KOMSAS. Pelaksanaan yang masih baru memperlihatkan prestasi dan pencapaian akademik pelajar yang masih belum begitu mencapai tahap kecemerlangan.

Salah satu genre yang terkandung dalam teks KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia ialah genre prosa klasik di mana terdapat banyak kata klasik terkandung di dalam teks-teksnya. Bahasa prosa klasik memang mempunyai ciri yang menarik. Bahasa lazimnya disulami oleh bunga bahasa, bahasa kiasan, simpulan bahasa, peribahasa, perumpamaan, dan puisi lama seperti seloka, pantun, gurindam, perumpamaan, syair, dan tamsil.

Apa yang menjadi permasaalahannya adalah kebanyakan pelajar terutamanya pelajar-pelajar yang bukan daripada kaum Melayu sukar untuk memahami maksud kata-kata klasik dalam teks bacaan KOMSAS tersebut. Setelah dikaji sebab mengapa hal ini berlaku, didapati faktor utamanya ialah pelajar jarang mendengar perkataan-perkataan klasik dituturkan apatah lagi menggunakan perkataan-perkataan klasik tersebut dalam pertuturan seharian mereka. Ini adalah kerana pelajar-pelajar tersebut menggunakan bahasa ibunda mereka dalam kehidupan seharian.

.

1.2 Objektif Kajian.

Objektif kajian amat penting bagi menentukan apa yang ingin dikaji dan mencapai matlamatnya. Objektif kajian yang digunakan terbahagi kepada dua iaitu objektif umum dan objektif khusus.

1.2.1 Objektif Umum.

Kajian ini secara umumnya adalah untuk membantu pelajar-pelajar agar faham maksud keseluruhan teks KOMSAS prosa klasik sekaligus membina keyakinan diri pelajar untuk mempelajari teks KOMSAS seterusnya..

1.2.2 Objektif Khusus.

Objektif khusus adalah seperti berikut iaitu :

i) Membantu pelajar memahami maksud perkataan klasik dalam teks;

ii) Membimbing pelajar supaya menguasai penggunaan bahasa klasik dalam teks menggunakan strategi metakognisi; dan.

iii) Mengkaji keberkesanan strategi metakognisi yang dijalankan ke atas pelajar .

1.3 Persoalan Kajian.

Kajian ini berdasarkan persoalan kajian seperti berikut:

i) sejauh manakah pemahaman pelajar-pelajar dalam pembacaan teks genre prosa klasik dalam KOMSAS?;

ii) bagaimanakah sikap pelajar terhadap perlaksanaan strategi metakognisi dalam membaca teks genre prosa klasik dalam KOMSAS?;

iii) adakah pelajar menunjukkan respon yang positif terhadap pembelajaran menggunakan strategi metakognisi dalam membaca teks genre prosa klasik dalam KOMSAS?; dan

iv) sejauh manakah pencapaian pelajar setelah mengikuti pembelajaran menggunakan strategi metakognisi dalam membaca teks genre prosa klasik dalam KOMSAS?.

1.4 Kepentingan Kajian

Antara objektif utama pengajaran dan pembelajaran kurikulum Bahasa Malaysia termasuklah melibatkan diri dalam interaksi sosial melalui perbualan, perbincangan, dan penulisan untuk menjalin serta mengeratkan hubungan, dan berurus untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan, mendapat dan memproses maklumat secara kritis daripada pelbagai sumber yang didengar, dibaca, dan ditonton untuk memperoleh ilmu dan maklumat, menggunakan maklumat yang diperoleh untuk tujuan menyelesaikan masalah dan membuat keputusan, serta menyebarkan maklumat dalam bentuk lisan dan tulisan, mendengar, membaca, menonton, dan memberikan respons kepada pelbagai bahan sastera dan bukan sastera, serta melahirkan idea dan pendapat dalam bentuk penulisan dan lisan secara kreatif dan berkesan.

Di dalam P&P, matlamat yang diingini ialah peningkatan prestasi dan pencapaian pelajar. Kajian ini memberikan tumpuan kepada peningkatan pemahaman pelajar dalam menguasai maksud perbendaharaan kata prosa klasik.. Adalah diharapkan, setelah menjalani P&P dengan strategi metakognisi yang diperkenalkan, pelajar akan lebih berminat dan menunjukkan sikap positif terhadap pembelajaran KOMSAS genre prosa klasik. Penggunaan strategi metakognisi ini tidak terbatas kepada menolong pelajar yang mengatasi masalah kesukaran dalam memahami maksud teks KOMSAS genre prosa klasik sahaja, tetapi juga mengubah sikap dan kebiasaan yang boleh menjejaskan pembelajaran serta menanam sikap positif termasuk yakin diri.

Dapatan kajian diharapkan dapat membantu menyelesaikan masalah kesukaran dalam memahami maksud teks KOMSAS genre prosa klasik dan seterusnya boleh dijadikan garis panduan tentang kesesuaian penggunaan pelbagai jenis strategi yang lain. Selain itu, kajian ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada pihak yang terlibat dalam pendidikan KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk merancang, merangka, dan menyusun strategi yang bersesuaian untuk membimbing pelajar agar dapat meningkatkan pemahaman dan penguasaan dalam teks KOMSAS genre prosa klasik yang diajarkan di sekolah.

1.5 Batasan Kajian

Kajian ini ditumpukan kepada penggunaan strategi metakognisi bagi meningkatkan pemahaman pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran teks KOMSAS genre prosa klasik. Kajian ini telah dijalankan di SMK Pulau Ketam, Selangor. Pelajar-pelajar yang terlibat dalam kajian ini ialah pelajar-pelajar Tingkatan 5 Satria yang terdiri daripada pelajar-pelajar bukan Melayu yang berbangsa Cina di sekolah tersebut.

Strategi metakognisi yang digunakan memberi tumpuan kepada sesi rawatan bagi membantu pelajar menguasai teks KOMSAS genre prosa klasik terutamanya bagi perkataan-perkataan klasik yang terkandung di dalam teks. Strategi berkenaan dipilih kerana bersesuaian bagi pembelajaran KOMSAS genre prosa klasik ini di mana perkataan-perkataan klasiknya sukar untuk difahami terutamanya bagi pelajar yang bukan berbangsa Melayu.

Aspek yang dikaji dalam kajian ini ialah aspek kosa kata perkataan klasik. Oleh sebab itu, pra ujian dan pasca ujian yang dijalankan juga berkaitan dengan kosa kata perkataan klasik yang melibatkan makna dan penggunaan kata. Rasionalnya adalah untuk menunjukkan bahawa pengetahuan tentang kosa kata adalah penting bagi perkembangan dan penampilan kemahiran linguistik.

2.0 Strategi Metakognisi dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Metakognisi ialah kesedaran tentang apa yang diketahui dan apa yang tidak diketahui. Strategi metakognisi merujuk kepada cara untuk meningkatkan kesedaran mengenai proses berfikir dan pembelajaran yang berlaku. Apabila kesedaran ini wujud, seseorang dapat mengawal fikirannya dengan merancang, memantau, dan menilai apa yang dipelajari.

Metakognisi menurut Yahya Othman (2007) pula adalah suatu proses yang melibatkan mengetahui dan sedar perkara yang dilakukan. Dalam perlakuan membaca, pembaca sedar dan mengetahui perkara yang dilakukan ketika membaca.Menurut pendapat beliau lagi, metakognisi juga boleh didefinisikan sebagai berfikir berkenaan berfikir, mengetahui ‘apa yang kita ketahui’ dan ‘apa yang kita tidak ketahui’. Di samping itu, metakognisi juga dikaitkan dengan tugas semasa berfikir dengan mentadbirkan pemikirannya sendiri.

Secara amnya, metakognisi merupakan ‘kognisi tentang kognisi’ atau ‘pemikiran tentang pemikiran’. Komponen penting dalam metakognisi adalah berkaitan dengan pengetahuan tentang kognisi dan kebolehan memantau, meregulasi, dan mengawal sebarang hal ehwal kognitif (Flavell, 1976). Definisi ini mencadangkan bahawa ketika proses berfikir atau belajar berlangsung, individu itu boleh memilih kemahiran dan strategi yang sesuai mengikut keperluan tugasan pemikiran atau pembelajaran yang sedang dijalankan.

Pada peringkat awal, kajian-kajian tentang metakognisi dijalankan dalam kalangan pelajar muda (Flavell, Friedrich, & Hoyt, 1970). Selepas diperkenalkan oleh Flavell dalam tahun 1976, metakognisi mula diberi perhatian oleh para pengkaji pada awal tahun 1980an. Seiring dengan peralihan penekanan daripada teori tingkah laku kepada teori kognitif dalam bidang psikologi, kajian tentang pengajaran pembelajaran di kolej menjadi lebih seiring dengan kajian pada peringkat sekolah. Perkembangan seterusnya menampakkan kajian tentang metakognisi juga dijalankan dalam kalangan pelajar yang lebih matang. Beberapa kajian lepas yang ditinjau telah mendokumentasikan kepentingan metakognisi dan hubungannya dengan pencapaian akademik dalam kalangan pelajar universiti ( Mohammed Darabie, 2000).

Justeru, kajian ini cuba mengaitkan pemboleh ubah metakognisi dalam usaha untuk mengenal pasti cara-cara yang dapat membantu meningkatkan pencapaian akademik dalam kalangan pelajar sekolah menengah, khususnya dalam memahami pembacaan teks KOMSAS genre prosa klasik.

3.0 METODOLOGI KAJIAN

3.1 Latar Belakang Kajian

Bahagian ini akan membincangkan tatacara yang digunakan oleh pengkaji untuk mengendalikan penyelidikan ini. Menurut Othman Mohamed(2001), Cohen & Morion(1996), metodologi merupakan pendekatan yang digunakan dalam penyelidikan pendidikan bagi mengumpul data. Metodologi merupakan satu rosedur sistematik yang menghubungkan penyesuaian pendekatan kajian serta analisis data yang sealiran dengan peraturan tersendiri bagi memastikan prestasi penyelidikan dicapai dengan baik dan sempurna.

3.2 Reka Bentuk Kajian.

Kajian eksperimen merupakan satu rancangan penyelidikan yang dijalankan untuk menentukan kesan sesuatu olahan. Kajian ini akan menggunakan ujian pra dan ujian pasca satu kumpulan. Menurut Mohd. Majid Konting (1990) reka bentuk praujian-pasca ujian satu kumpulan hanya menggunakan satu kumpulan eksperimen untuk mengkaji kesan olahan pemboleh ubah tak bersandar. Sebelum subjek diberi olahan, cerapan dilakukan dengan menggunakan pra ujian bagi menentukan kedudukan subjek. Selepas olehan diberi, cerapan dilakukan sekali lagi bagi menentukan kedudukan subjek dengan menggunakan pasca ujian. Reka bentuk pra ujian-pasca ujian satu kumpulan boleh digambarkan dengan simbol-simbol berikut

Praujian Pembolehubah bersandar pasca ujian

C 1 O C2

Petunjuk:

  1. Simbol O mewakili olahan pemboleh ubah tak bersandar, iaitu strategi metakognisi.
  2. Simbol C1 mewakili cerapan terhadap pembolehubah bersandar, iaitu praujian.
  3. Simbol C2 mewakili cerapan terhadap pembolehubah bersandar, iaitu pasca ujian.

Meskipun kaedah praujian-pasca ujian satu kumpulan sampel mudah dilakukan, kemungkinan perbezaan yang wujud antara cerapan pertama dengan cerapan kedua bukan sahaja disebabkan oleh olahan pembolehubah tak bersandar tetapi juga disebabkan oleh wujudnya praujian. Pendedahan subjek kepada praujian boleh meninggalkan kesan kepada subjek dan kesan ini mungkin mempengaruhi cerapan selepas olahan. Kesan-kesan pembolehubah ekstranus tidak dapat dikawal sepenuhnya. Kaedah ini juga tidak dilakukan secara rawak. Ini boleh mengurangkan kesahan dalaman reka bentuk. Kemungkinan kesan pembolehubah ekstranus adalah tinggi, terutamanya apabila subjek yang dipilih tidak mewakili populasi yang dikaji.

3.3 Tempat Kajian.

Kajian dijalankan di SMK. Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, Selangor.

3.4 Populasi

Populasi kajian ialah semua pelajar tingkatan 5 Satria di SMK. Pulau Ketam. Pelajar terdiri daripada bangsa Cina.

3.5 Sampel Kajian

Sampel kajian terdiri daripada 39 orang pelajar tingkatan lima yang terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan. Semua sampel kajian berbangsa Cina dan menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pertama mereka. Bahasa Melayu merupakan bahasa kedua responden-responden yang dikaji.

3.6 Instrumen Kajian

Untuk tujuan kajian ini, dua jenis instrumen kajian yang digunakan untuk mendapatkan maklum balas daripada pelajar dan mengumpul data-data yang berkaitan dengan kajian. Instrumen kajian tersebut ialah;

3.6.1 Inventori Tahap Kesedaran Strategi Metakognitif.

Inventori mengandungi pernyataan tentang tahap keyakinan responden terhadap teks, tahap pembaikan apabila pelajar menghadapi masalah ketika membaca teks, tahap keefektifan, iaitu cara mendapatkan hasil pembacaan yang berkesan. Tahap kesukaran bahan atau teks dan tahap pembaca baik, iaitu pengertian pembaca yang baik bagi responden. Inventori ini juga bertujuan untuk meninjau tahap kesedaran tentang strategi metakognisi pelajar, malah mendapat maklum balas kepada objektif kajian.

3.6.2 Ujian Pemahaman Teks.

Pelajar diberikan satu ujian pemahaman teks berdasarkan petikan prosa klasik yang bertajuk “Sikap Terburu-buru akan Membawa Padah” dipetik daripada Antologi Anak Laut (halaman 48t. Petikan tersebut diikuti dengan 5 item yang bertujuan menguji pemahaman responden tentang petikan yang dibaca. 5 item yang dibentuk berdasarkan aras pengetahuan, kefahaman dan analisis.

3.7 Tatacara Kajian

Pada peringkat awal kajian, langkah pertama yang dilakukan adalah memberikan pra ujian kepada semua sampel kajian. Selepas ujian pra ditadbirkan, responden diberi pendekatan strategi metakognisi dalam pemahaman membaca dalam pengajaran danpembelajaran. Sesi pembelajaran menggunakan strategi metakognisi dirancang selama iga minggu. Langkah-langkah pengajaran penggunaan strategi metakognisi dalam kajian diperlihatkan dalam rajah 1

<!–[if supportFields]&gt; SHAPE \* MERGEFORMAT &lt;![endif]–>

MembacaTeks

Membincangkan makna

Perbincangan tentang Penggunaan Strategi Metakognisi

Latihan Strategi Metakognisi

<!–[if supportFields]&gt;&lt;![endif]–>

Strategi Metakognisi ini diaplikasikan dalam latihan pemahaman yang dibimbing oleh pengkaji.

Sesi pembelajaran dimulakan dengan aktiviti bacaan dan diikuti dengan perbincangan tentang kandungan petikan. Langkah seterusnya adalah perbincangan tentang makna perkataan yang sukar khususnya perkataan-perkataan klasik.

Minggu

Aktiviti Responden

Minggu 1

(Selasa)

Praujian

Minggu 1

(Rabu)

  1. Membaca teks petikan.
  2. Menjawab lima soalan pemahaman berdasarkan teks petikan.

Minggu 2

(Rabu)

  1. Membaca teks petikan yang lain.
  2. Membincangkan kandungan petikan
  3. Membincangkan strategi metakognisi.

Minggu 2

(Khamis)

  1. Ulasan dan perbincangan
  2. Membaca teks petikan dengan menggariskan perkataan klasikyang sukar difahami.
  3. Merujuk kamus untuk mencari makna.
  4. Membincangkan strategi metakognisi.

Minggu 3

Pascaujian

3.8 Penganalisisan Data

Data-data yang diperoleh dianalisis berdasrkan objektif kajian. Data kuantitatif yang diperoleh dari kajia ini diproses dan dianalisis menggunakan komputer. Program yang digunakan ialah The statistical Package For Sosial Sciences (SPSS). Menurut Mohamad Majid Konting (1990), penganalisisan data berstatistik menggunakan perisian pengaturcaraan SPSS dapat menghasikan pengiraan yang tepat.

DAPATAN KAJIAN

Bahagian ini akan membincangkan dapatan daripada kajian yang telah dijalankan. Perbincangan berfokuskan kepada persoalan kajian, iaitu untuk melihat keberkesanan penggunaan strategi metakognisi terhadap pemahaman membaca teks Komsas mengikut genre prosa tradisional.

Dapatan kajian dikemukakan melalui dua cara, iaitu analisis deskriptif serta analisis statistik inferensi menggunakan ujian-t. Dalam kajian ini aras signifikan bagi semua analisis statistik ditetapkan pada 0.025. Hasil daripada analisi yang dibuat akan membuktikan penggunaan strategi metakognisi dalam pemahaman bacaan teks prosa tradisional dapat meningkatkan pencapaian pelajar.

Analaisis Deskriptif Skor Ujian

Jadual 1menunjukkan analisis keseluruhan min pencapaian pemahaman bacaan dan sisihan piawai bagi praujian dan pascaujian.

Keseluruhan

(n= 39)

Minimum Pra Pasca

————————————————————————————————————Minimum 0.00 3.00

Maksimum 13.00 12.00

Min 4.2308 7.2308

SP 2.66025 1.95289

————————————————————————————————————

Secara diskriptif, jadual 1 menunujukkan min pencapaian pemahaman bacaan dan sisihan piawai kesemua pelajar yang terlibat dalam kajian iaitu plajar yang menggunakan strtegi penggunaan metakognisi. Dalam jadual tersebut min pencapaian pemahaman bacaan prosa tradisional pada peringkat awal iaitu praujian tanpa menggunakan strategi metakognisi adalah 4.2308 dengan sisihan piawai 2.66025, manakala min pemahaman bacaan pada peringkat pascaujian dengan menggunakan strategi metakognisi ialah 7.2308 dengan sisihan piawai 1.95289.

Analisis Inferens

Dalam bahagian ini, pengkaji akan membincangkan dapatan kajian iaitu pencapaian pemahaman bacaan bagi praujian dan pascaujian pelajar menggunakan strategi metakognisi.

Pencapaian Pelajar Berdasarkan Strategi Metakognisi

Bagi melihat sejauh mana keberkesanan strategi metakognisi terhadap pemahaman bacaan prosa tradisional, terdapat perbezaan yang signifikan antara min pencapaian pemahaman bacaan prosa tradisional.

Jadual 2: Menunjukkan keputusan analisis ujian-t perbandingan min pencapaian pemahaman bacaan praujian dan pascaujian.

Ujian Bil Min Sisihan Piawai Nilai-t df Tahap signifikan

————————————————————————————————————Praujian 39 4.2308 2.66025

-7.003 38 .000

Pascaujian 39 7.2308 1.95289

————————————————————————————————————

Berdasarkan hadual 2, min pencapaian pemahaman bacaan praujian ialah 4.2308 dengan sisihan piawai 2.67542. Setelah rawatan (strategi metakognisi) dijalankan, min pencapaian pemahaman bacaan meningkat kepada 7.2308 dengan sisihan piawai 1.95289. Nilai-t yang diperoleh ialah [ t(38) = -7.003, p< 0.025] ini bermakna wujud perbezaanyang signifikan antara min pencapaian pemahaman bacaan prosa tradisional pascaujian dalam kalangan pelajar bukan Melayu yang menggunakan kaedah pembelajaran metakognisi. Dengan kata lain, tahap pencapaian pascaujian pelajar yan menggunakan strategi metakognisi berbeza dengan pencapaian praujian.

Dapatan kajian menunjukkan min pencapaian pascaujian pemahaman bacaan prosa tradisional iaitu 7.2308 adalah lebih tinggi berbanding dengan min pencapaian pemahaman bacaan praujian iaitu 3.00. Berdasarkan dapatan ii, dapat dirumuskan bahawa strategi metakognisi telah dapat meningkatkan pencapaian pemahaman bacaan prosa tradisional KOMSAS dalam kalangan pelajar bukan Melayu.

RUMUSAN

Kajian berkaitan kesedaran metakognisi sangat penting dalam usaha untuk memberikan satu paradigma baru dalam pengajaran dan pembelajaran membaca. Kajian ini telah memenuhi kehendak persoalan dan objektif kajian yang telah dikemukakan. Hasil kajian ini mendapati bahawa tahap pencapaian pasca ujian pelajar bukan Melayu SMK. Pulau Ketam menggunakan strategi metakognisi adalah lebih berkesan bahi meningkatkan pencapaian pemahaman membaca prosa tradisional.

Berdasarkan perbincangan, jelas bahawa strategi metakognisi yang digunakan secara keseluruhan dapat membantu pelajar dalam mengatasi masalah-masalah yang wujud semasa membaca teks prosa tradisional.Walaupun begitu, bimbingan daripada guru-guru masih diperlukan untuk membimbing dan membantu pelajar mengenal pasti dan menyedari kepentingan strategi yang digunakan dan perkaitan strategi tersebut dengan metakognisi dalam kefahaman membaca.

Membaca hendaklah dikaitkan dengan kemahiran berfikir. Ketika aktiviti membaca dilakukan, tahap penguasaan pemahaman membaca mempunyai kaitan dengan daya berfikir. Pemahaman yang tinggi berkait dengan kemampuan berfikir yang tinggi dan memberangsangkan (Zarina Mohd. Yatim:1995). Untuk menjayakan pembacaan dengan berkesan, pembaca haruslah memahami proses-proses membaca, iaitu proses mengekod, proses visual, proses berfikir, proses psikoinguistik dan proses metakognitif.

Walaupun perkaitan kesedaran metakognisi dan pemahaman bacaan telah lama diketengahkan namun pendekatan dalam pelaksanaannya masih dianggap belum menyeluruh dan memerlukan penegasan melalui pengukuhan konsep dan perancangan dalam pengajaran dan pembelajaran membaca.

Sehubungan dengan itu, hasil daripada keputusan yang diperoleh melalui kajian ini dapat memberi maklumat bagi membantu pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam merancang dan membentuk sesuatu program dalam bidang pendidikan Bahasa Melayu terutamanya dalam aspek pengajaran dan pembelajaran yang boleh memberi manfaat yang lebih besar kepada pelajar-pelajar bukan Melayu yang belajar bahasa Melayu khususnya dalam pemahaman membaca prosa tradisional.

Bibliografi

Aziz, L.J. 1995. A model of paired cognitive and metacognitive strategies: Its effect on

second languange grammar and writing performance (cognition). Ed. D.

Dissertation University of San Francisco.

Baker, L. & Brown, A.L. 1984. “ Metacognitive skills and reading” dalam Pearson

P.D.(ed.) Handbook of Reading Research. New York: Longman.

Fatimah Idris. 1998. Hubungan Kesedaran Metakognisi dengan Pemahaman Teks Bacaan

Teks Ekspositori di Kalangan Pelajar Tingkatan Dua. Disertasi Sarjana Pendidikan, Universiti Malaya.

Mariam Buyong. 1993 “Kaedah Mengajar Bacaan Murid Sekolah Menengah” dalam

Buku Mengajar Bahasa Melayu. Jilid 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Majid Konting. 1990. Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhamad Harun.1998. “Kesedaran Metakognisi dalam Kefahaman Membaca.” Bengkel

Pedagogi Bahasa Melayu. Kuala Lumpur. Institut Bahasa Melayu Malaysia.

Yahya Othman. 2004. Mengajar Membaca: Teori dan Aplikasi, Panduan Meningkatkan

Kemahiran Mengajar Membaca. Bentong: PTS Publication & Distributors Sdn.

Bhd.

_________. 2005. “ Tahap Kesedaran Strategi Metakognisi dalam Pembelajaran Pemahaman Membaca” dalam Pendidikan Bahasa di Malaysia: Isu, Amalan dan Cabaran, penyunting Kamisah Ariffin et.al. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti(UPENA)

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.